PETALING JAYA – Majikan di negara ini seharusnya menaikkan gaji pekerja dalam membantu mereka berdepan kos sara hidup pada masa kini.
Pakar Ekonomi Universiti Sains dan Teknologi Malaysia, Prof. Dr. Barjoyai Bardai berkata, tindakan itu seharusnya diambil berat agar sebahagian pekerja tidak terus mengharapkan duit Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk kelangsungan hidup.
“Ramai rakyat Malaysia rasa terdesak, menyebabkan mereka sangat memerlukan bantuan dan cuba mendapatkannya daripada KWSP.
“Mereka patut minta majikan bayar gaji lebih, tetapi kenapa minta KWSP untuk kompromi? Dengan pemikiran, ‘sekurang-kurangnya KWSP duit sendiri, tak minta duit orang lain’, itu mengorbankan masa depan mereka,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.
Dalam pada itu katanya, kerajaan juga sepatutnya melihat cara lain untuk membantu rakyat termasuk meningkatkan pemberian subsidi.
“Kalau kita rasa kerana nak menyambut raya, sedia mengorbankan masa depan. Tentulah mereka kata, ‘apalah nak dikisahkan, masa depan kita ditentukan oleh Allah, bukan kerajaan, bukan siapa’.
“Kalau begitu maksudnya, kita tidak memerlukan KWSP sebenarnya, namun itu satu pandangan yang emosional,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, hasrat pencarum KWSP untuk menikmati keseluruhan dividen yang dikreditkan terus ke Akaun 3 (Fleksibel) sukar direalisasikan serta-merta kerana perkara itu bukan boleh dilaksanakan serta-merta sebaliknya mengambil masa yang lama untuk melakukan perubahan.
“Ia memerlukan satu perubahan dan perubahan ini perlu diluluskan dalam peraturan khas. Maknanya lamalah sikit, bukannya serta-merta. Jadi yang penting ia memerlukan komitmen kalau kerajaan bersetuju.
“Namun kerajaan hari ini merasakan KWSP telah ‘digugat’ semasa Covid-19, sehingga menyebabkan banyak kumpulan pencarum terjejas masa depan mereka.
“Kalau boleh kerajaan tak mahu masuk campur aspek ini kerana ia boleh menjejaskan masa depan banyak kumpulan pencarum,” katanya
Baru-baru ini, ramai pencarum tersenyum apabila agihan dividen 2025 dijangka lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya. – KOSMO! ONLINE














