WASHINGTON – Gergasi penghantaran dan kargo Amerika Syarikat (AS), FedEX menyaman pentadbiran Presiden Donald Trump semalam untuk mendapatkan semula wang tarif yang dibayar selepas Mahkamah Agung mengisytiharkan cukai tersebut menyalahi undang-undang.
Mahkamah Agung membatalkan tarif global Presiden Donald Trump minggu lalu kerana beliau melangkaui bidang kuasanya.
Ia merupakan kekalahan politik yang besar buat Trump, membatalkan tonggak utama agenda ekonominya, dan juga membuka ruang kepada tindakan undang-undang terhadap kerajaan AS.
FedEx menuntut ‘bayaran balik penuh’ cukai yang telah dibayarnya ke atas barangan import dalam saman terhadap Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) yang difailkan di Mahkamah Perdagangan Antarabangsa AS.
Saman tersebut adalah yang pertama daripada syarikat utama AS susulan keputusan Mahkamah Agung.
Beberapa tuntutan mahkamah lain telah pun difailkan sebelum keputusan Mahkamah Agung pada Jumaat lalu.
Pentadbiran Trump setakat ini mengumpul pendapatan lebih AS$130 bilion (RM506 bilion) daripada pengimport-pengimport.
Selepas Mahkamah Agung memutuskan tarif ke atas negara-negara dunia tidak sah pada minggu lalu, Trump beralih kepada undang-undang berasingan untuk menandatangani perintah mengenakan tarif 10 peratus secara menyeluruh ke atas semua import, berkuat kuasa hari ini.
Beliau kemudian berjanji untuk menaikkan tarif baharu itu kepada 15 peratus. – AFP














