LIVERPOOL – Pengurus Liverpool, Arne Slot menganggap skuad kendaliannya bernasib baik ketika menang 1-0 ke atas Nottingham Forest pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di City Ground malam kelmarin.
Gol kemenangan pada minit-minit akhir perlawanan menerusi Alexis Mac Allister terus mencerahkan peluang The Reds untuk melayakkan diri ke saingan Liga Juara-Juara (UCL) musim depan.
Slot mengakui, skuad kendaliannya menampilkan aksi bawah paras sebenar, terutamanya di separuh masa pertama apabila banyak hilang bola selain memberi ruang kepada pasukan tuan rumah melakukan serangan.
“Prestasi kami di separuh masa pertama sangat teruk, mungkin paling teruk pada saingan musim ini. Bagaimanapun, prestasi itu dapat diperbaiki sebaik sahaja perlawanan memasuki separuh masa kedua.
“Saya tahu kami sering berdepan situasi seperti ini tetapi hari ini (semalam) mungkin kami mendapat lebih daripada apa yang sepatutnya. Keputusan seri mungkin lebih adil untuk kedua-dua pasukan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan, teknologi Video Bantuan Pengadil (VAR) membuatkan beliau teragak-agak untuk meraikan jaringan selepas menyaksikan jaringan Mac Allister pada minit ke-89 dibatalkan sebelum dia meledak gol kemenangan.
“Sejak VAR diperkenalkan, saya berdepan kesukaran untuk meraikan jaringan kerana sering berfikir sesuatu akan berlaku. Apa yang penting hari ini (semalam) adalah kami berjaya dapatkan tiga mata,” ujar Slot. – AGENSI














