KUALA PILAH – Polis telah melengkapkan kertas siasatan berhubung kes seorang wanita berusia 50 an yang didakwa menikam leher ibunya sendiri dalam kejadian di Kampung Segineh, Inas, minggu lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Muhamad Mustafah Hussin berkata, kertas siasatan berserta cadangan akan diserahkan kepada Pejabat Pendakwa Raya Negeri untuk tindakan lanjut.
“Kita baru selesai lengkapkan kertas siasatan awal untuk dihantar kepada pihak pendakwaan. Kita turut mencadangkan untuk suspek mendapatkan rawatan psikiatri di Hospital Bahagia (Ulu Kinta, Perak).
“Bagaimanapun, cadangan ini adalah tertakluk kepada persetujuan Timbalan Pendakwa Raya (DPP). Kes ini masih lagi diklasifikasikan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini, hari ini.
Ujar Muhamad Mustafah, mangsa iaitu ibu suspek berusia 80an masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Seremban dan berada dalam keadaan stabil.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat, Muhammad Yusry Che Dah ketika dihubungi berkata, berdasarkan semakan rekod orang kurang upaya (OKU), suspek tidak berdaftar sebagai OKU mental. – KOSMO! ONLINE














