NEW DELHI – Sebuah ambulans udara sewa khas membawa tujuh orang terhempas di timur India semalam, kata pengawal selia penerbangan negara itu.
Direktorat Jeneral Penerbangan Awam (DGCA) berkata, pesawat jenis Beechcraft C90 itu terhempas di Kasaria, negeri Jharkahnd, timur India ketika mengendalikan penerbangan pemindahan perubatan.
Nasib tujuh orang itu termasuk dua kru belum diketahui.
DGCA dalam satu kenyataan yang disiarkan lewat semalam berkata, pasukan mencari dan menyelamat berada di lokasi nahas sambil menambah, pasukan Biro Siasatan Kemalangan Pesawat juga sedang dihantar.
Pesawat dikendalikan oleh Redbird Airways Pvt Ltd itu berlepas petang semalam dari Ranchi, ibu kota Jharkhand. Ia terbang ke Delhi membawa seorang pesakit dan kakitangan perubatan.
“Pesawat itu meminta untuk melencong kerana faktor cuaca dan terputus hubungan dengan radar trafik udara dalam masa 23 minit,” kata DCGA.
Media tempatan melaporkan, pesawat itu terhempas di dalam hutan. – AFP














