fbpx
AB RAHAMAN (tengah) pada sidang akhbar IPK Johor, Johor Bahru hari ini. Foto oleh BAZLAN IBRAHIM / KOSMO!

12 akaun TikTok, laman web tipu Bantuan Kasih Johor guna AI diturunkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JOHOR BAHRU – Sebanyak 12 akaun TikTok dan laman web yang didapati mempromosi Bantuan Kasih Johor (BKJ) secara tidak sah diturunkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Ketua Polis Johor, Datuk Ab. Rahaman Arsad berkata, tindakan itu diambil selepas pihaknya menerima laporan daripada Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor, Khairin-Nisa Ismail pada Jumaat lalu.

Katanya, antara 12 akaun tersebut, empat daripadanya memalsukan wajah dan suara Khairin-Nisa menggunakan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) untuk menipu rakyat Johor.
“Siasatan mendapati kesemua akaun tersebut menyebarkan maklumat tidak benar seolah-olah semua rakyat Johor layak menerima BKJ dan meminta orang ramai mengisi maklumat peribadi masing-masing.

“Sehubungan itu, tindakan diambil untuk menurunkan kesemua akaun dan laman web terbabit. Setakat ini kita belum terima laporan daripada mana-mana pihak yang menjadi mangsa,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.

Menurut Ab. Rahaman, siasatan pihaknya turut mendapati kesemua akaun dan laman web tersebut dibuka dan beroperasi dari negara jiran.

“Kami percaya ini merupakan salah satu aktiviti ‘phishing’ bertujuan mendapatkan maklumat peribadi seperti nama penuh, nombor kad pengenalan, nombor telefon dan akaun bank sebelum ia disalahgunakan.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana cubaan melakukan penipuan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 bagi kesalahan menyalahgunakan kemudahan rangkaian,” katanya.

Ab. Rahaman menasihatkan orang ramai agar berwaspada ketika berkongsi maklumat peribadi dengan mana-mana pihak atau di platform media sosial selain mendapatkan pengesahan terlebih dahulu sebelum berbuat demikian.-KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN