PETALING JAYA – “Kami duduk tingkat 10 ke atas cepat-cepat lari turun ke bawah.
Itu antara detik cemas yang dikongsi beberapa penduduk di sebuah flat sekitar Kota Kinabalu, Sabah di aplikasi Threads selepas gempa bumi kuat bermagnitud 6.8 melanda perairan berhampiran Kota Kinabalu, Sabah tengah malam tadi.
Menurut penduduk yang dikenali sebagai @eenanyot, gegaran akibat gempa bumi itu sangat kuat dirasai kebanyakan penduduk flat berkenaan.
“Masing-masing duduk tingkat 10 keatas memang lari cepat-cepat turun bawah.
“Kuat sangat rasa (gegaran akibat gempa bumi). Ya Allah lindungilah kami dari perkara yang tidak baik,”luahnya di Threads.
Difahamkan pengguna tersebut tinggal di sebuah kuartes kerajaan di Inanam, Sabah.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna berdoa agar penduduk di Sabah sentiasa dilindungi dari sebarang malapetaka yang berbahaya.
“Ya Allah permudahkan segala urusan mereka di Sabah,”doa @allwayswin.
“Semoga semua orang dilindungi Allah,”tulis @dazedarlene.
Turut meninggalkan komen adalah seorang lagi penduduk dikenali sebagai @akhbar_akasha.
“Ya Allah SWT lindungilah saudara-saudara kami semua dari musibah-musibah dan bencana alam,”katanya.
Terdahulu, dalam kejadian kira-kira pukul 12.57 tengah malam itu, Jabatan Meteorologi Malaysia dalam kenyataannya memaklumkan gempa berkoordinat 7.0° utara dan 116.4° timur itu berlaku pada kedalaman 678 kilometer, kira-kira 49 kilometer barat Kudat.
Gegaran dilaporkan dirasai di beberapa kawasan di Sabah selain Brunei, sebahagian Sarawak dan Semenanjung Malaysia.
Bagaimanapun, MetMalaysia menyatakan tiada ancaman tsunami kepada Malaysia susulan kejadian tersebut. – KOSMO! ONLINE
View on Threads













