KUALA LUMPUR – Seseorang Perdana Menteri yang telah berkhidmat selama 10 tahun tidak lagi layak memegang jawatan itu sekiranya Rang Undang-Undang (RUU) berhubung had tempoh jawatan Perdana Menteri diluluskan Dewan Rakyat dan berkuat kuasa.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, peruntukan dalam RUU berkenaan menetapkan had berdasarkan jumlah tahun seseorang memegang jawatan Perdana Menteri, bukan mengikut penggal Parlimen.
“Siapa mahu jadi Perdana Menteri (selepas ini), dia tak boleh lebih daripada 10 tahun. Jadi yang mana kita buat dalam pindaan perlembagaan ini, dia juga (mengambil) kira kepada tahun-tahun dia sudah berkhidmat sebagai Perdana Menteri.
“Katakan PMX (Datuk Seri Anwar Ibrahim) menang lagi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16, dia nak jadi Perdana Menteri sekali lagi boleh. Tapi kalau dikira dari tahun, dia baki tujuh tahun saja,” katanya kepada pemberita di Parlimen di sini hari ini.
Azalina menjelaskan, pindaan itu dibuat bagi menunaikan komitmen manifesto Pilihan Raya Umum (PRU) lalu, namun jika ada keperluan kembali kepada kaedah sedia ada, ia bergantung kepada kerajaan memerintah ketika itu.
Dalam taklimat sama, beliau turut menjelaskan bahawa pindaan RUU berkenaan hanya melibatkan jawatan Perdana Menteri dan tidak menyentuh jawatan Ketua Menteri atau Menteri Besar. – KOSMO! ONLINE














