KUALA LUMPUR – Seorang pensyarah sambilan warga Amerika Syarikat (AS) kerugian sebanyak RM664,278 selepas terperdaya dengan pelaburan dalam talian yang tidak wujud.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian sekitar pukul 10.40 pagi Jumaat lalu.
Menurutnya, mangsa yang juga seorang peruding berusia 74 tahun telah mengikuti skim pelaburan di satu aplikasi pada 26 November tahun lepas.
“Mangsa kemudian berurusan dengan suspek iaitu seorang wanita melalui WhatsApp bagi berbincang berkenaan pelaburan dan seterusnya membimbing untuk memuat naik sebuah aplikasi.
“Mangsa juga telah membuat transaksi ke dalam 11 akaun bank berlainan secara berperingkat berjumlah RM664,278,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelasnya, mangsa menyedari dia ditipu apabila tidak dapat mengeluarkan wang keuntungan seperti yag dijanjikan.
Mohamad Lazim menambah, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE














