fbpx
Mahadi

Peguam khuatir janggut Mahadi dipotong jika gagal bayar jamin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Peguam kepada suami selebriti Heliza Helmi, Datuk Mahadi Badrul Zaman yang didakwa berniaga dalam sekuriti tanpa lesen, memohon agar anak guam dibebaskan dengan jaminan kerana khuatir akan dipotong janggutnya semasa dalam penjara.

Semasa rayuan jamin, peguam bela, Datuk Mohd. Zamri Mohd. Idrus memaklumkan mahkamah jika jaminan tidak dibenarkan atau terlalu tinggi sehingga anak guam tidak mampu membayar, tertuduh dipenjarakan, janggut panjangnya berkemungkinan akan dipotong.

“Ini akan memberi kesan kepadanya,” katanya.

Menurut Mohd. Zamri, sebelum ini anak guamnya yang membantu pihak mengendalikan jemaah umrah, telah memberikan kerjasama sepanjang siasatan dan bukan individu yang berisiko untuk melarikan diri.

Beliau berkata Mahadi turut menanggung ibunya yang menghidap kanser dan tahap kesihatan tidak menentu serta turut menanggung keluarga mentuanya.

Terdahulu, Mahadi, 43, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan berkenaan dibacakan terhadapnya di di dua mahkamah berasingan, di hadapan Hakim Azrul Darus dan Hakim Norma Ismail.

Terdahulu Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Sekuriti (SC), Danial Imran Nasaruddin, memohon mahkamah mempertimbangkan kepentingan awam serta keyakinan pelabur dalam pasaran sekuriti sebelum membenarkan jaminan terhadap tertuduh.

Beliau berkata, pendakwaan mencadangkan mahkamah mengenakan jumlah jaminan sebanyak RM250,000 dengan dua penjamin dan memerintahkan pasport diserah kepada mahkamah serta tertuduh dikehendaki melapor diri di pejabat SC sebulan sekali.

Kedua-dua mahkamah kemudian membenarkan Mahadi dijamin masing-masing sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan semua syarat tambahan seperti dipohon pendakwaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN