KATHMANDU – Sebuah bas terbabas di jalan pergunungan di Nepal dan terjunam ke dalam sungai berais, kata polis hari ini, dalam kemalangan yang membunuh sekurang-kurangnya 19 orang, termasuk seorang pelancong Britain.
Bas yang dalam perjalanan dari bandar pelancongan Pokhara ke ibu negara, Kathmandu itu jatuh dari ketinggian lebih 200 meter ke dalam Sungai Trishuli di daerah Dhading, awal pagi tadi.
“Daripada 44 orang, seramai 19 orang maut dan 25 masih dirawat,” kata pegawai polis tempatan, Prakash Dahal kepada AFP, mengesahkan seorang warga Britain adalah antara yang terkorban.
Seorang warga China dan seorang pelancong New Zealand cedera, katanya, tanpa memberikan butiran lanjut.
Pegawai penerangan di pejabat pentadbiran daerah, Mohan Prasad Neupane berkata, operasi menyelamat selesai menjelang subuh.
“Mangsa yang cedera sedang menerima rawatan,” kata Neupane.
Pada Julai 2024, dua buah bas dengan lebih 50 orang di dalamnya dihanyutkan dari lebuh raya ke sungai yang sama selepas kejadian tanah runtuh.
Kemalangan maut biasa berlaku di republik Himalaya itu kerana jalan raya kurang baik, kenderaan tidak diselenggara dengan baik dan pemanduan melulu. – AFP














