fbpx
JPJ bertindak menyita sebuah bas ekspres dalam Ops Tahun Baharu Cina di Terminal Bas Shahab Perdana di Alor Setar, semalam. - Foto JPJ KEDAH

Bas ekspres bawa 31 penumpang nyaris dipandu pemandu tiada lesen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ALOR SETAR – Hasrat 31 penumpang untuk ke Teluk Intan, Perak terbantut apabila bas ekspres yang mereka naiki di Terminal Bas Shahab Perdana, di sini semalam disita kerana pemandu bas tidak mempunyai lesen memandu kompeten.

Tindakan itu diambil penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam pemeriksaan Ops Tahun Baharu Cina kira-kira pukul 9.22 pagi di terminal berkenaan.

Pengarah JPJ Kedah, Stien Van Lutam berkata, pemeriksaan mendapati pemandu gagal mengemukakan lesen memandu kompeten serta lesen vokasional seperti diwajibkan bagi kenderaan pengangkutan awam.

“Siasatan lanjut mendapati bas berkenaan pada asalnya berdaftar sebagai bas persiaran dan telah memohon Lesen Perubahan Sementara (LPS) sempena musim perayaan Tahun Baharu Cina untuk beroperasi sebagai bas ekspres.

“Walau bagaimanapun, kenderaan itu didapati beroperasi di luar kawasan yang diluluskan seperti dalam lesen tersebut, sedangkan bas itu berdaftar di Selangor,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, bagi menjaga kebajikan penumpang, pihak JPJ mengarahkan syarikat menyediakan pemandu berlesen sah serta bas gantian bagi memastikan perjalanan diteruskan dengan selamat.

“Namun begitu, menurut maklumat pengurusan Terminal Bas Shahab Perdana, pengusaha bas tidak dapat menyediakan bas dan pemandu gantian. Pengusaha akan mengembalikan semula duit penumpang dan mereka terpaksa membeli tiket bas lain,” ujarnya.

Tambahnya, bas tersebut disita dan dibawa ke depoh sita JPJ negeri.

“Pemandu dikenakan kesalahan di bawah Seksyen 26(1) dan Seksyen 56 Akta Pengangkutan Jalan 1987, manakala pemilik bas di bawah Seksyen 22(1)(b)(i) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI