PETALING JAYA – Teka-teki mengenai pengganti Datuk Suhaimi Sulaiman akhirnya terjawab apabila Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil hari ini mengumumkan pelantikan Ashwad Ismail sebagai Ketua Pengarah Penyiaran Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang baharu.
Pada masa sama, Fahmi turut mengumumkan pelantikan Dr. Sharifah Adlina Syed Abdullah yang akan menggalas tanggungjawab sebagai Timbalan Ketua Pengarah Penyiaran yang baharu bagi memperkukuh pengurusan RTM.
“Selamat datang ke keluarga Kementerian Komunikasi.
“Tahniah dan selamat menjalankan amanah kepada Ketua Pengarah Penyiaran yang baharu, saudara Ashwad Ismail serta Timbalan Ketua Pengarah, Dr. Sharifah Adlina Syed Abdullah,” katanya dalam hantaran Instagram.
Fahmi turut menaruh harapan tinggi agar kepimpinan baharu ini mampu memacu transformasi dalam dunia penyiaran terutama dalam mendepani cabaran zaman digital.
“Semoga kepimpinan yang dibawa terus memperkukuh industri penyiaran negara, memacu inovasi serta menyampaikan maklumat yang sahih dan berintegriti demi kesejahteraan rakyat,” katanya lagi.
Ashwad sebelum ini merupakan Ketua Pengarang Astro Awani dan mengumumkan pengundurannya daripada saluran berita berkenaan selepas menabur bakti selama 19 tahun.
Pelantikannya dilihat sebagai kesinambungan kepada legasi yang ditinggalkan Suhaimi, 64, yang sebelum ini mengesahkan melepaskan jawatan tersebut secara sukarela.
Suhaimi juga sebelum ini pernah menyandang beberapa jawatan penting dalam bidang penyiaran dan kewartawanan termasuk sebagai Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Pengarang Astro Awani pada 2017 dan Pengerusi Bernama pada 2020. – KOSMO! ONLINE














