ALOR SETAR – Pendakwah bebas, Mohammad Yaakub Yusra mendakwa tidak berlaku sebarang penyelewengan dana mahupun aktiviti cuci duit membabitkan Murtadha Dakwah Centre (Madad).
Dakwa Mohammad Yaakub, ia mungkin berpunca daripada isu-isu teknikal termasuk berkaitan kelulusan tertentu.
Menurutnya, dia memberikan kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sepanjang proses siasatan.
“Alhamdulillah daripada segi dapatan daripada pihak AMLA (pengubahan wang haram), justifikasi semua sebab kebanyakan iklan Madad menggunakan kad kredit saya.
“Itu yang nilaian daripada tahun 2020 hingga 2025 itulah yang RM1 juta lebih itu. Sewaras akal ini, saya rasa tidak adalah kita nak ambil duit,” dakwanya menerusi satu video baru-baru ini.
Selain itu, dia juga mendakwa tidak berlaku sebarang pertambahan aset.
“Saya pun tak ada pertambahan aset apa pun, rumah pun tak ada. BYD saya masih dengan bank, Mazda pun masih berhutang dengan bank. Jadi, saya tidak tahu kat mana yang mewah itu. Saya ada pendapatan daripada kuliah semua itu,” ujarnya.
Dia juga mendakwa, hasil daripada money trail atau jejak kewangan yang dilakukan mendapati tidak berlaku aktiviti cuci duit.
“Ahamdulillah tak ada penyelewengan, cuma isu-isu teknikal. Kelulusan itu, kelulusan ini. Jadi tak apalah, kita doakan yang baik.
“Pada saya semua orang ada hak untuk bersuara, mungkin apa dia sebut itu baik daripada segi teguran. Saya pun ada kurang, saya tidak sempurna,” dakwanya.
Yaakub turut menyatakan bahawa Ramadan kali ini dia dapat memfokuskan untuk beribadat serta meluangkan masa bersama keluarga.
“Saya pun dah rugi banyak masa, saya tak sempat nak ‘tengok’ anak saya. Selama lapan tahun saya bekerja dengan Madad, saya tidak pernah ambil MC.
“Itu yang macam saya dah abaikan banyak dah. Mungkin ini ruang yang Allah nak bagi, saya tidak pernah rasa Ramadan selapang ini kerana selalunya memang kalut, ulang-alik Kuala Lumpur hari-hari,” luahnya. – KOSMO! ONLINE














