KUALA TERENGGANU – Seorang Exco kerajaan negeri Terengganu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa dengan mengarahkan dua anaknya bekerja di syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri ini.
Sumber berkata, lelaki berusia 60-an itu ditahan selepas hadir memberi keterangan di pejabat agensi tersebut di Kemaman pada pukul 11.15 pagi tadi.
“Siasatan awal mengesyaki suspek menggunakan jawatan dan kedudukannya sebagai Exco kerajaan negeri dan pengerusi lembaga pengarah sebuah GLC untuk mengarahkan kedua-dua anaknya diambil bekerja di dua buah anak syarikat kerajaan negeri.
“Perbuatan itu dipercayai dilakukan ahli dewan undangan negeri (ADUN) Terengganu tersebut pada 2018 dan 2020,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu, Hazrul Shazreen Abd. Yazid mengesahkan penahanan tersebut dan memberitahu, kes akan disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009. – KOSMO! ONLINE














