PETALING JAYA – Pempengaruh juga rapper sensasi, Caprice menyifatkan tindakan Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli yang menyuarakan hasrat untuk mengambil tindakan undang-undang terhadapnya sebagai keterlaluan.
Caprice, 38, nama sebenarnya, Ariz Ramli, 38, ketika dihubungi Kosmo! Online berkata, semakin hari semakin terserlah belang sebenar bekas Menteri Ekonomi itu.
“Saya okey sahaja buat masa sekarang. Dia (yang) nampak macam dah makin terdesak,” katanya ringkas.
Pelantun lagu Dem Girls itu menafikan dakwaan yang menyatakan dia berdendam dengan ahli politik terbabit kerana pernah gagal mendapatkan tender saat Rafizi memegang portfolio Menteri Ekonomi.
“Kalau bulan puasa pun boleh tabur fitnah, kalian faham-faham sahajalah.
“Bahagian paling mengejutkan. Dia ketawakan saya cari kerja. Kami merupakan agensi — siapkan enam ke tujuh kertas kerja dan mungkin hanya satu yang lepas.
“Sesiapa yang kerja dalam bidang pengiklanan atau media, benda ini normal untuk agensi buat pitching. Kenapa perlu tujukan pada saya dalam podcast? Beginikah perangai wakil rakyat?,” katanya.
Terdahulu, Caprice menghadiahkan sejambak bunga ros sebagai tanda mahu berdamai dengan bekas Rafizi berhubung isu kes rasuah RM2.5 bilion membabitkan penganugerahan kontrak kepada sebuah syarikat.
Beliau juga merayu supaya Ahli Parlimen Pandan itu tidak mengheretnya dalam perang politik berkait isu berkenaan.
Caprice menafikan pernah menyebut Rafizi terbabit dalam kes rasuah berjumlah RM2.5 bilion melibatkan penganugerahan kontrak kepada sebuah syarikat yang dikaitkan dengannya.
Menurutnya, segala pertanyaan yang dibuat terhadap Rafizi dalam hantarannya adalah soalan yang adil.
Bagaimanapun, tidak menunggu lama Rafizi kemudian mendedahkan menerusi podcast kendaliannya saman terhadap Caprice tetap akan diteruskan.
Menurut Rafizi, kandungan yang dimuat naik Caprice didakwa membawa unsur tuduhan bahawa beliau mempunyai kepentingan dalam syarikat Invoke Solutions Sdn. Bhd. sekali gus mencetuskan persepsi negatif terhadap integritinya. – KOSMO! ONLINE














