PERTEMUAN Selangor FC dan Kuching City di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, malam ini boleh dianggap sebagai medan ujian sebelum kedua-dua pasukan akan membuat perhitungan di pentas separuh akhir Piala Malaysia.
Pengendali Gergasi Merah, Kim Pan-gon sedar tiada jalan mudah buat pemainnya kerana kedua-dua pasukan juga sedang bersaing rapat untuk merebut tempat kedua dalam saingan Liga Super musim ini.
“Ia akan menjadi perlawanan yang menarik sebab nanti kita akan jumpa lawan sama di separuh akhir Piala Malaysia. Tapi, untuk aksi liga, saya sedar Kuching City memang antara pasukan terkuat sekarang dalam Liga Super.
“Saya dengan rendah diri turut menanti untuk perlawanan menentang mereka dan saya akan sentiasa menghormati Kuching City. Apa pun, kita akan cuba yang terbaik nanti,” katanya.
Walaupun masih kekal tanpa kalah sejak mula mengendalikan pasukan, Pan-gon sedar tanggungjawab digalasnya untuk mengubah skrip lama di mana Selangor FC tewas dalam dua pertemuan terakhir dengan The Cats.
Aura Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya nyata ditagih kerana venue itu pernah menyaksikan kemenangan besar 4-0 Selangor ke atas lawan itu, manakala selebihnya berakhir dengan keputusan tipis.
Di atas kertas, Kuching City kali ini dilihat berjaya menambah kualiti apabila dua pemain baharunya, Gabriel Palmero dan Jerome Etame tidak menunggu lama untuk membuktikan kredibiliti.














