SELAYANG – Kemarau kemenangan PDRM FC dalam 15 perlawanan akhirnya menemui titik noktah apabila menewaskan Kelantan The Real Warriors FC (KTRW FC) 1-0 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, sebentar tadi.
Walaupun The Cops dibayangi isu masalah gaji, pemain PDRM FC nyata masih memiliki sesuatu untuk dibuktikan dan keputusan itu mengekalkan rekod baik ke atas lawan sama selepas turut raih kemenangan 3-1 pada perlawanan pertama.
Jaringan tunggal Muhammad Eizrul Ashraf Nor Effendy pada minit ke-27 sudah memadai buat PDRM FC mengesahkan kemenangan kedua musim ini.
Keputusan itu pastinya beri tamparan hebat buat KTRW FC namun ia boleh dijadikan pengajaran berguna sebelum harungi separuh akhir Piala Cabaran menentang Penang FC, 4 Mac ini.
Di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Negeri Sembilan terus mengharungi penurunan prestasi dan kali ini tewas 1-2 kepada Imigresen FC.
Segalanya bermula baik buat Negeri Sembilan apabila membuka jaringan menerusi Luqman Hakim Shamsudin pada minit kelapan namun malapetaka mula menghimpit pasukan apabila Yuichi Hirano dilayangkan kad merah.
Memiliki kelebihan seorang pemain membolehkan Imigresen meraih dua gol daripada Eduardo Sosa pada minit ke-38 dan 85.
Di Stadium Stadium Hang Jebat, Melaka FC gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri apabila tewas 1-2 kepada Terengganu.
Dua gol pelawat dihasilkan oleh Akhyar Rashid pada minit ke-36 dan Baqiuddin Shamsudin, minit ke-78 manakala jaringan saguhati Melaka FC diledak oleh Dino Kalesic (m-73). – KOSMO! ONLINE














