SHAH ALAM – Sekumpulan lelaki diburu polis selepas disyaki mencuri kabel dengan mengorek lubang di sekitar Seksyen 3 di sini, kelmarin.
Kejadian kira-kira pukul 5 pagi itu disedari seorang penduduk lelaki berusia 30-an yang terdengar bunyi bising sebelum melihat suspek memotong kabel berhampiran rumahnya.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata, kejadian itu turut tular menerusi rakaman video yang memaparkan suspek menggunakan beberapa kenderaan termasuk pacuan empat roda.
“Saksi cuba mengekori mereka namun diberi amaran dan dikejar sebelum suspek melarikan diri.
“Kumpulan ini dipercayai aktif dan mahir mencuri kabel berdasarkan cara mengorek serta menarik kabel keluar sebelum memotongnya di lokasi sunyi bagi mendapatkan tembaga,” katanya hari ini.
Beliau berkata, nilai kerugian masih disiasat dan usaha memburu suspek sedang giat dijalankan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhammad Zamri Abdul Rahman di talian 0111-6652402.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan tular video di media sosial memaparkan sekumpulan individu disyaki mencuri kabel di kawasan Seksyen 3, Shah Alam.-KOSMO! ONLINE.














