fbpx
LECLERC memberi bayangan kebangkitan Ferrari selepas melakukan catatan masa terpantas pada sesi ujian pramusim terakhir di Bahrain. - AFP

F1: Leclerc atasi catatan dua juara dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SAKHIR – Pelumba Ferrari, Charles Leclerc menutup tirai ujian pramusim Formula Satu (F1) di Bahrain dengan catatan terpantas, sekali gus memberi bayangan awal potensi sebenar jentera Scuderia menjelang musim baharu.

Leclerc mencatat masa satu minit 31.992 saat untuk mengatasi juara dunia semasa Lando Norris dari McLaren, manakala juara empat kali dunia Max Verstappen melengkapkan kelompok tiga terbaik.

Pelumba dari Monaco itu menegaskan Ferrari berjaya melaksanakan program ujian seperti dirancang, namun enggan membuat kesimpulan awal mengenai kekuatan sebenar pasukan.

“Kami menjalankan semua program yang dirancang dan menguji perkara yang perlu. Dari segi prestasi sebenar, masih sukar untuk menilai kerana setiap pasukan menyembunyikan kemampuan sebenar mereka,” kata Leclerc.

Menurutnya, fokus utama Ferrari ketika ini adalah persediaan menyeluruh menjelang perlumbaan pembuka musim di Grand Prix (GP) Australia pada 8 Mac depan.

“Kami tidak terlalu fokus pada masa pusingan. Apa yang lebih penting ialah memastikan kami benar-benar bersedia untuk perlumbaan pertama musim ini,” jelasnya.

Sementara itu, pelumba muda Racing Bulls, Arvid Lindblad mencuri perhatian apabila melengkapkan rekod 165 pusingan dalam sehari, manakala Aston Martin berdepan masalah teknikal apabila jentera mereka hanya mampu mencatat enam pusingan. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN