LONDON – Pengurus interim Tottenham Hotspur, Igor Tudor melaungkan keyakinan bahawa pasukan itu mampu mengelak daripada tersingkir ke Liga Kejuaraan musim depan biarpun menduduki tangga ke-16 ketika ini.
Spurs sekadar memiliki kelebihan lima mata berbanding West Ham United yang menduduki tempat ke-18 ketika ini sekali gus menjadi tugas yang sukar buat Tudor untuk memastikan pasukan itu kekal dalam saingan utama musim depan.
Tudor bakal mengemudi Spurs pada aksi debutnya pada perlawanan derbi utara London menentang Arsenal yang terdesak untuk meraih kemenangan menyebabkan beliau perlu menggunakan segala kepakaran yang dimiliki.
“Anda akan meraih posisi berdasarkan keputusan yang diperoleh pada hari perlawanan. Saya tidak mahu fikirkan soal berjuang untuk mengelak daripada tersingkir, tetapi fokus pada perlawanan yang dihadapi.
“Saya tidak bercakap dengan pemain mengenai keputusan atau apa yang kami perlu raih pada akhir musim, saya tidak percayakan semua itu. Apa yang penting untuk saya adalah apa yang kami dapat pada setiap sesi latihan.
“Jurang mata itu boleh menjadi lima, 10 atau dua mata, tetapi sikap kami mestilah sentiasa sama. Kami perlu lebih fokus sebagai satu pasukan dan proses itu akan menentukan kejayaan kami,” jelasnya yang percaya Spurs akan 100 peratus kekal di Liga Perdana Inggeris musim depan.
Bagaimanapun, Tudor tidak berdepan tugas mudah apabila memiliki senarai pemain yang tercedera cukup ramai ketika sesi latihan pertamanya bersama pasukan itu hanya melibatkan 13 pemain sahaja.
“13 mungkin sudah cukup untuk kami meraih sesuatu pada perlawanan itu nanti. Saya faham mengenai pentingnya perlawanan itu, ia adalah derbi utara London dan semua orang menjangkakan tiga mata untuk kami raih,” ujarnya. – AGENSI














