fbpx
Anwar Ibrahim hadir merasmikan Majlis Berbuka Puasa dan Majlis Peluncuran Rakan Masjid X Rakan Muda Ramadan di Masjid Wilayah hari ini. Foto oleh FARIZ RUSADIO/ KOSMO!

Anak muda digesa imarah masjid, Ramadan medan bina jati diri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Golongan muda diseru tampil mengimarahkan masjid dan menjadikan Ramadan sebagai platform membina kekuatan akidah, akhlak serta kepimpinan diri.

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkata, masjid perlu kembali berfungsi sebagai pusat pembangunan umat dengan penglibatan aktif anak-anak muda.

Menurut beliau, program Rakan Masjid X Rakan Muda Ramadan yang dilancarkan di Masjid Wilayah Persekutuan hari ini adalah antara pendekatan baharu untuk mendekati generasi muda agar lebih dekat dengan institusi masjid.

“Ramadan bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi mesti berakhir dengan ‘la’allakum tattaqun’ membentuk insan bertakwa dan berakhlak.

“Anak muda perlu diberi ruang dan peluang untuk mengimarahkan masjid, mendalami ilmu serta memperkukuh amal,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Berbuka Puasa dan Peluncuran Rakan Masjid X Rakan Muda Ramadan di Masjid Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Beliau menegaskan, pengimarahan masjid bukan hanya tertumpu kepada ibadah khusus seperti solat, sebaliknya perlu disertai dengan penghayatan nilai kemanusiaan dan tanggungjawab sosial.

Katanya, konsep mendirikan solat dan menunaikan zakat yang digandingkan dalam al-Quran memberi isyarat jelas bahawa ibadah kepada Allah SWT perlu diseimbangkan dengan tanggungjawab terhadap masyarakat.

“Kalau anak muda ada semangat, dedikasi dan tidak gentar melainkan kepada Allah SWT, mereka mampu menjadi tonggak kekuatan umat,” ujarnya.

Dalam masa sama, Anwar turut mengingatkan bahawa pembangunan negara tidak boleh dicapai tanpa paksi tauhid, nilai akhlak dan sikap positif.

Beliau berkata, walaupun pelbagai pencapaian ekonomi direkodkan, usaha membina negara akan terjejas sekiranya masyarakat terus terperangkap dalam polemik dan perpecahan.

Sehubungan itu, beliau menyeru anak-anak muda supaya membawa mesej yang positif, memperkukuh ilmu serta menjadi agen penyatuan dalam masyarakat majmuk.

“Selamatkan negara dengan sikap yang membina. Imarahkan masjid, angkat martabat kemanusiaan dan perkukuh keyakinan kita,” katanya.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN