fbpx
Gambar hiasan.

Warga emas rugi RM10,000 diperdaya taktik tebus tiket loteri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

AMPANG JAYA – Seorang pesara kerajaan kerugian kira-kira RM10,000 selepas dipercayai menjadi mangsa sindiket penipuan membabitkan penebusan tiket loteri bernilai RM300,000, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 11 pagi semalam di kawasan makanan basah di Dataran Pandan Prima.

“Mangsa merupakan wanita tempatan berusia 70 tahun dan telah didatangi sepasang suami isteri bersama seorang wanita dipercayai warga Indonesia yang menunjukkan tiket loteri bernilai RM300,000 dan meminta bantuan untuk menebusnya kerana tiada kad pengenalan.

“Suspek turut menjanjikan imbuhan kepada pengadu sekiranya membantu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, wanita dipercayai warga Indonesia itu kemudian memegang mangsa sehingga mangsa berasa seperti dipukau sebelum bersetuju membantu dan mengikuti ketiga-tiga suspek menaiki kereta Proton Waja berwarna kelabu.

Katanya, mangsa dibawa ke beberapa lokasi termasuk Ampang Point dan kawasan belakang sebuah restoran nasi kandar di kawasan itu.

“Salah seorang suspek mendakwa telah menukar tiket loteri berkenaan kepada cek dan meminta cagaran sebanyak RM30,000 sebagai jaminan mangsa tidak melarikan diri.

“Oleh kerana tidak mempunyai wang tunai, mangsa menyerahkan seutas rantai emas dan sebentuk gelang emas dianggarkan bernilai keseluruhan RM10,000 sebagai cagaran,” katanya.

Tambah beliau, mangsa kemudian dibawa ke Maybank Ampang Point untuk menunaikan cek berkenaan, namun selepas diturunkan dari kenderaan, semua suspek melarikan diri.

“Mangsa percaya dirinya dipukau sehingga menyerahkan barang kemas terbabit sebelum membuat laporan polis. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN