fbpx
Tiga remaja yang ditahan dalam operasi penguatkuasaan motosikal di Lebuh Raya Kuala Lumpur–Seremban, awal pagi tadi.

Tiga ‘Superman’ di Lebuh Raya KL–Seremban dicekup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Tiga remaja lelaki ditahan dalam satu operasi penguatkuasaan motosikal yang dijalankan Unit Risikan/Operasi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman di Lebuh Raya Kuala Lumpur–Seremban, di sini awal pagi tadi.

JSPT Bukit Aman dalam kenyataan berkata, operasi yang bermula semalam hingga awal pagi Sabtu itu dilaksanakan bagi membanteras aktiviti tunggangan motosikal secara melulu dan berbahaya di laluan utama lebuh raya berkenaan.

Menurutnya, pasukan operasi mengesan sekumpulan penunggang motosikal melakukan pelbagai aksi berbahaya termasuk aksi ‘Superman’ dengan meniarap di atas motosikal, menunggang secara zig-zag serta berlumba sesama sendiri di laluan utama lebuh raya.

“Perbuatan tersebut bukan sahaja membahayakan diri penunggang, malah mengancam keselamatan pengguna jalan raya dan kes diambil tindakan di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Kenyataan itu menambah, dua saman turut dikeluarkan atas kesalahan tiada lesen memandu serta nombor pendaftaran kenderaan yang tidak mematuhi peraturan.

“Kesemua individu berusia 18 hingga 20 tahun yang ditahan dibawa untuk tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.

Justeru, JSPT Bukit Aman akan terus mempergiatkan operasi seumpama ini dari semasa ke semasa sebagai langkah pencegahan dan penguatkuasaan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya sentiasa terpelihara. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN