FILEM Close Ur Kopitiam merupakan salah satu kejutan terbesar di pawagam Malaysia pada musim perayaan Tahun Baharu Cina tahun lalu. Kini, filem terbabit tersedia di laman penstriman, Netflix.
Diarahkan oleh Vince Chong, filem komedi ini berjaya mengumpul lebih RM12 juta di pawagam, menjadikannya antara filem Cina Malaysia paling berjaya dalam beberapa tahun kebelakangan.
Cerita berpusat pada Ah Biao (dilakonkan oleh Song Bill), pemilik kedai kopitiam warisan ibunya di Puchong, Selangor. Dia menguruskan perniagaan bersama isterinya, Yuriko, tetapi gaya pengurusan pelik dan strategi pemasaran konvensional membawa kepada krisis besar.
Konflik utama bermula apabila pertengkaran dengan seorang pempengaruh popular mencetuskan ribut media sosial sehingga kedai hampir muflis.
Filem ini bijak menggabungkan elemen komedi slapstik dengan isu kontemporari seperti buli siber, kuasa influencer, dan tekanan perniagaan kecil dalam era digital. Tema ini terasa sangat relevan di Malaysia, di mana budaya media sosial amat kuat.
Song Bill, yang lebih dikenali sebagai content creator, menunjukkan bakat lakonan yang mengejutkan. Watak Ah Biao dibawa dengan penuh emosi – dari degil dan garang, kepada penyesalan dan perjuangan menyelamatkan keluarga serta perniagaan.
Yuriko (Yuriko Heng) menjadi pasangan yang sempurna di skrin; sinergi mereka terasa natural, menjadikan hubungan suami isteri ini salah satu kekuatan emosi filem. Wataknya mewakili sokongan senyap tapi kuat dalam keluarga.
Kumpulan pekerja kedai (termasuk Dahee, Anthony, Adeline, dan lain-lain dari kumpulan Dissy) membawa warna tersendiri. Setiap watak mempunyai ‘quirk’ sendiri – dari impersonasi Jay Chou yang teruk hingga Vin Diesel palsu – yang menjadi sumber gelak tawa.
Cameo daripada Mark Lee dan Jaspers Lai menambah nilai hiburan, terutama buat penonton Malaysia dan Singapura yang biasa dengan muka mereka dalam filem komedi.
Lawak Malaysia
Satu kekuatan besar filem ini adalah humor yang sangat ‘local’. Jenaka berasaskan ‘meme’ internet Malaysia, slang tempatan dan situasi kopitiam seharian.
Humor ini juga menjadi kelemahan di luar negara. Bagaimanapun, penulis tidak rasa penonton antarabangsa atau di Singapura misalnya mungkin ‘lost in translation’ kerana banyak rujukan budaya dan meme yang hanya difahami rakyat Malaysia.

Melainkan, mereka di Selatan tanah air itu tidak bercakap bahasa Mandarin, ‘terpaling’ Inggeris atau tidak pernah menjejakkan kaki ke Malaysia untuk ‘menadah’ seliter dua liter minyak petrol kita.
Adegan-adegan ‘sibuk’ di kedai, pertembungan online ‘vs real life’ dan usaha memajukan perniagaan dibina dengan baik tanpa terasa bertele-tele.
Sinematografi tidak terlalu mewah, tapi berkesan menangkap suasana kedai kopitiam yang selesa, bising dan penuh kehidupan.
Shot makanan seperti nasi lemak, roti bakar, dan kopi-o juga menggoda selera.
‘Plot hole’
Filem ini bukan sekadar komedi murahan; ada momen emosi yang menyentuh hati, terutama babak berkaitan keluarga, warisan, dan perjuangan menghadapi kegagalan.
Tema resiliensi dan bagaimana perniagaan kecil boleh bangkit semula daripada krisis digital terasa tebal, terutama buat peniaga kecil yang ramai terkesan dengan media sosial.
Walaupun ada sedikit ‘plot hole’ dan naratif kadang terasa nipis (lebih bergantung pada sketsa komedi kumpulan), ia masih berjaya sebagai filem sulung pengarah dan kumpulan Dissy.
Secara keseluruhan, Close Ur Kopitiam adalah cermin tajam kepada Malaysia moden – campuran antara tradisi kopitiam lama dan dunia influencer baharu. Ia lucu, menghibur, dan ada mesej yang bermakna.
Filem ini paling menghiburkan ditonton bersama keluarga atau kawan-kawan di pawagam, terutama kalau anda dari Malaysia dan faham konteks lokalnya.
Bagi penulis secara peribadi, ini salah satu filem CNY Malaysia yang paling sangat berbekas dalam beberapa tahun.
Kalau anda belum tengok, layaklah berkunjung ke aplikasi Netflix dan memulakan tontonan tidak sampai dua jam. Skor peribadi: 8/10.
CLOSE YOUR KOPITIAM
Pengarah: Vince Chong
Pelakon: Song Bill, Yuriko Heng, Jasper Lai, K-Lao
Sumber: Netflix
Bintang:★★★★☆














