ROMPIN – Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah agar jangan sekali-kali menjadikan masjid sebagai hak eksklusif mana-mana kelompok semata-mata sehingga menyebabkan sebahagian masyarakat berasa terpinggir.
Sehubungan itu baginda bertitah memastikan pengurusan masjid dilaksanakan dengan penuh amanah, telus dan berintegriti supaya masjid ini benar-benar menjadi payung kesejahteraan, perpaduan dan kesejahteraan ummah seluruhnya.
“Sukacita saya mengingatkan bahawa masjid bukan sekadar mercu tanda keindahan seni bina Islam yang megah di pandangan mata tetapi jauh lebih daripada itu, ia adalah jantung kehidupan ummah dan medan penyatuan hati-hati yang beriman.
“Janganlah kita biarkan masjid ini hanya tersergam indah pada rupanya namun sunyi daripada pengisian rohani dan kehangatan persaudaraan,”titah baginda pada Majlis Perasmian Masjid Sultan Haji Ahmad Shah Teluk Gading dan Majlis Berbuka Puasa di sini semalam.
Menurutnya, masjid bukan sekadar mercu tanda keindahan seni bina Islam yang megah pada pandangan mata tetapi jauh lebih daripada itu, ia adalah jantung kehidupan ummah dan medan penyatuan hati-hati yang beriman.
Baginda mengingatkan kepada seluruh kariah agar menjadikan masjid sebagai pusat aktiviti masyarakat yang hidup, subur dan berdaya saing.
“Imarahkanlah dengan solat berjemaan yang istiqamah, majlis-majlis ilmu yang menyuburkan akal dan jiwa serta aktiviti kebajikan yang mempererat ukhuwah sesama kita.
“Janganlah kita biarkan masjid ini hanya tersergam indah pada rupanya namun sunyi daripada pengisian rohani dan kehangatan persaudaraan,”ujarnya.-KOSMO! ONLINE














