ISU pergaduhan melibatkan dua pelakon yang bermula sebagai pelakon cilik, Mia Sara dan Putri Balqis, baru-baru ini membuka mata ramai tentang sisi gelap industri hiburan.
Di sebalik sorotan lampu dan populariti, wujud tekanan, penghakiman serta berisiko menjejaskan emosi serta mental anak-anak yang masih mentah.
Bagi pelakon dan pengarah Liyana Jasmay yang memulakan langkah dalam dunia lakonan seawal usia sembilan tahun, perjalanan sebagai pelakon cilik bukan sekadar cerita glamor. Sejarah itu sebaliknya kisah tentang disiplin, kawalan keluarga dan kekuatan dalaman untuk bertahan dalam industri seni yang disifatkan kejam.
Tumbuh, dewasa dan sukses dalam liganya, Liyana yang kini berusia 38 tahun mengakui jatuh cinta dengan dunia seni sejak kecil, meskipun ketika itu persekitarannya dikelilingi rakan sekerja yang dewasa.
“Saya boleh bekerja dalam persekitaran yang dikelilingi orang dewasa. Semasa saya mula berlakon, hati saya memang jujur dan memang sukakan industri seni.
“Jurang usia memang ketara, saya baru sembilan tahun tetapi kru dan pelakon lain semuanya dewasa. Hari-hari saya lihat, dengar dan pandang apa yang berlaku di set, tetapi saya seronok sangat dapat duduk dengan orang industri,” ujarnya memulakan kerjaya lakonan menerusi drama Si Lembik arahan Datuk Aznil Nawawi.
Sambung Liyana, kekuatan terbesarnya adalah ibu bapa. Dia mengakui tidak pernah terlepas daripada melakukan kesilapan ketika remaja. Namun, setiap kali tersasar, keluargalah yang kembali memimpin tangannya.
Teguran, nasihat malah kemarahan ibu bapa menjadi benteng agar tidak terus hanyut. Seluruh industri tahu, ibunya, Allahyarhamah Datin Habsah Simpon sentiasa ada ada di sisi ke mana sahaja kakinya melangkah.
“Semua orang pernah muda dan pernah buat silap. Saya juga tidak terkecuali, ada saja kesilapan yang saya lakukan semasa membesar seperti buat perkara bukan-bukan atau berkenalan dengan orang yang salah.
“Jika saya buat salah, orang pertama yang akan ‘tampar’ atau beri nasihat adalah keluarga. Betapa besar dan buruk kesilapan yang saya lakukan ibu bapa tetap maafkan. Apa sahaja masalah, jangan tipu dan kita perlu hadap sebagai satu ‘team’.
“Apa yang saya belajar adalah, dunia ini kejam dan orang akan sentiasa menghakimi kita. Kalau hendak jadi artis, kena bersedia.
“Kita kena tahu siapa diri kita dan siapa orang penting di sekeliling kita,” kongsi Liyana.
Dikawal
Mengimbas zaman remajanya, Liyana mengakui dia tidak menikmati kebebasan seperti rakan sebaya lain.
Ketika usia 18 tahun, dia telah memiliki populariti, wang dan karier yang sedang meningkat naik.
Ironinya, dia ‘terkongkong’ dalam kawalan dan tidak bebas keluar bersama rakan-rakan sebaya. Mengaku pernah memberontak kerana dikawal ketat, tetapi perspektifnya berubah selepas meningkat dewasa dan berkeluarga.
“Cabaran yang saya hadapi adalah saya tidak dapat kehidupan remaja yang normal. Biasanya remaja berusia 18 sehingga 21 tahun boleh keluar dengan rakan-rakan, tetapi saya tidak dapat semua itu.
“Dahulu saya selalu memberontak dan marah kenapa saya tidak boleh buat perkara yang remaja seusia boleh lakukan. Sebab arwah ibu selalu ikut ke mana sahaja saya pergi.
“Tetapi selepas saya dewasa dan berkahwin, saya rasa bersyukur sangat, arwah ibu kawal saya bersebab kerana waktu itu banyak sangat perkara negatif yang boleh mempengaruhi. Jika tidak ada orang kawal saya akan terpesong,” luahnya jujur.

Tambahnya, bukan industri hiburan sahaja yang mempunyai sisi gelap. Apa juga bidang ada baik dan buruknya. Bezanya, dunia seni sentiasa menjadi perhatian kerana lebih popular dan dipandang ramai orang.
Liyana percaya segalanya bermula dari rumah. Kasih sayang, pelukan dan komunikasi menjadi asas pembentukan emosi anak. Dia mengamalkan budaya memeluk dan menyatakan rasa sayang, sebagaimana didikan ibu bapanya.
“Ibu bapa saya kerap peluk, cium dan selalu meluahkan rasa sayang mereka. Saya percaya kalau di rumah anak-anak bahagia dan cukup kasih sayang, mereka tidak akan mencari ‘kasih sayang’ itu di luar.
“Didikan, cara bercakap, pergaulan juga datangnya dari rumah. Mungkin kerana kawalan dan kasih sayang keluarga saya terselamat daripada terjerumus perkara yang bukan-bukan,” katanya yang juga ibu kepada dua orang anak, Sofia Arissa, 12, dan Selena Jasmay, 10.
Membenarkan anak, terutama Selena terlibat dalam dunia seni, kini giliran Liyana bersiap siaga untuk menjaga anaknya seperti yang dilakukan arwah ibu terhadapnya dahulu.
“Setakat ini Selena hanya berlakon dengan produksi saya, jika ada produksi luar yang membuat tawaran, saya akan nilai dahulu adakah dia akan selesa bekerja.
“Apa yang pasti saya akan sentiasa ada bersamanya. Nasihat saya kepada ibu bapa yang ada anak-anak bekerja sebagai pelakon cilik, industri kita selamat tetapi jangan sesekali tinggalkan mereka.
“Memang ibu bapa perlu berkorban masa dan tenaga untuk ikut ke mana sahaja anak pergi kerana ini adalah tanggungjawab dan kita tidak boleh lepas tangan,” ujar Liyana.
Jangan beri ruang
Berbicara tentang situasi hangat yang berlaku antara pelakon muda Mia Sara dan Putri Balqis, Liyana enggan menyentuh secara terperinci sebaliknya berkongsi satu nasihat.
“Seperti gosip atau orang mengata kita, lebih baik kita berdepan dengan orang itu, saya suka tanya, adakah betul awak cakap saya begini begitu.
“Kadang-kadang orang menyampai ini pun bahaya juga tidak tahu betul atau tidak cerita itu. Biasanya akan ada dua cerita berbeza. Cuma nasihat saya maafkan selagi kita boleh maafkan dan jangan menganiaya orang.
“Satu lagi jangan beri ruang kepada orang luar untuk memandang buruk industri tempat kita mencari rezeki,” katanya.
Menyentuh tentang perkembangan terbaharu, Liyana muncul dengan drama berjudul Fantasi Fiksi arahan Tam Suhaimi.
Merupakan drama romantik komedi terbaharu lakonannya bersama Sharifah Amani, Iedil Dzuhrie Alaudin, Amy Mastura, Sazzy Falak, Sherry Alhadad, Eyka Farhana dan Luqman Hafidz, Fantasi Fiksi disiarkan di platform penstriman UTV.
“Seronok dapat berlakon bersama sahabat dan drama ini genrenya agak berbeza daripada apa yang berada di pasaran drama tempatan.
“Walaupun penglibatan saya pada awalnya menggantikan Nora Danish yang sakit, tetapi watak Azalea ini sangat sesuai dengan saya.
“Selalu saya bawa watak berat, jadi kali ini saya kembali kepada genre kegemaran iaitu romantik komedi. Semua pelakon pun ‘enjoy’, jadi saya yakin penonton akan ketawa melihat keletah kami,” katanya.














