BANGKOK – Satu klip video tular di Thailand menunjukkan seekor gajah jantan bertindak agresif dengan menerbalikkan sebuah kereta dan mengejar penunggang motosikal selepas diganggu ketika mengawan, lapor akhbar The Sun UK.
Kejadian berlaku di Buriram, baru-baru ini.
Gajah jantan berusia 19 tahun dipanggil Phlai Petch Uthai itu dibawa oleh pemiliknya yang dikenali sebagai Somporn, 35, untuk mengawan dengan seekor gajah betina.
Phlai Petch Uthai mula mengamuk dan menyerang Somporn apabila dia cuba memisahkan pasangan itu, menyebabkan dia mengalami kecederaan paru-paru yang serius.
Rakaman video kejadian menunjukkan gajah tersebut menerbalikkan sebuah kereta berwarna putih sebelum menghancurkan trak kecil yang terletak berhampiran kawasan pembiakannya.
Ia kemudian mengejar seorang penunggang motosikal.
Penghulu Buriram, Uthai Yeerum berkata: “Gajah itu disewa untuk tujuan pembiakan. Somporn menggesanya untuk menyelesaikan proses itu dengan, menyebabkan gajah miliknya marah dan bertindak agresif.”
Selain mencederakan Somporn, gajah itu turut merosakkan lima papan tanda sebelum sukarelawan dari Hospital Kerajaan Gajah tiba untuk membantu.
Gajah tersebut berjaya ditangkap selepas pasukan penyelamat memberikan ubat pelali. – AGENSI














