AMPANG JAYA – Seorang wanita warga emas dipercayai menjadi mangsa pukau sehingga kehilangan kesemua barang kemasnya dalam satu kejadian di sebuah pasar raya di sini, petang tadi.
Menurut perkongsian ahli keluarga mangsa, kejadian berlaku ketika wanita terbabit keluar bersendirian untuk membeli-belah seperti kebiasaannya di premis tersebut.
Difahamkan, mangsa kemudiannya dibawa keluar tanpa disedari sehingga ke arah Tasik Permaisuri sebelum ditinggalkan di hadapan sebuah restoran.
Akibat kejadian itu, kesemua barang kemas yang dipakai mangsa dilaporkan hilang.
Bagaimanapun, mangsa bernasib baik kerana telefon bimbitnya masih berada di dalam poket, sekali gus membolehkan dia menghubungi ahli keluarga untuk mendapatkan bantuan.
Ahli keluarga memaklumkan mangsa selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan, namun masih dalam keadaan terkejut susulan insiden tersebut.
Menurut keluarga, mangsa merupakan individu yang sudah berusia dan kebiasaannya keluar membeli-belah sendirian di lokasi berkenaan.
Keluarga percaya mangsa mungkin telah lama diperhatikan memandangkan rutin hariannya yang sering ke pusat beli-belah sama.
“Mungkin dah lama kena aim (perhati). Sebab mmg biasa membeli-belah situ. Tapi syukur oragnga selamat. Barang kemas tu tak apalah, semua harta dunia,” katanya.
Insiden tersebut menimbulkan kebimbangan dalam kalangan orang ramai khususnya membabitkan keselamatan warga emas yang keluar bersendirian.
Dalam pada itu, Kosmo! sedang berusaha mendapatkan kenyataan pihak polis berhubung kejadian tersebut. – KOSMO! ONLINE














