fbpx
Nor Azman pada Program Gotong-Royong Takaful Malaysia Prihatin Ramadan di Madrasah Raudatul Muttaqin, Sentul.

Takaful Malaysia santuni komuniti di Madrasah Raudatul Muttaqin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad (Takaful Malaysia) telah menganjurkan Program Gotong-Royong Takaful Malaysia Prihatin Ramadan di Madrasah Raudatul Muttaqin, Sentul baru-baru ini.

Program tersebut adalah sebagai sebahagian daripada komitmen berterusan kumpulan dalam menyokong kesejahteraan komuniti serta memupuk semangat kebersamaan menjelang bulan Ramadan yang mulia.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Takaful Malaysia, Nor Azman Zainal berkata, inisiatif ini mencerminkan usaha Takaful Malaysia untuk menggalakkan nilai kerjasama, tanggungjawab sosial dan semangat saling membantu, selari dengan prinsip takaful yang menekankan kesejahteraan bersama.

Jelasnya, antara aktiviti utama yang dijalankan termasuk kerja-kerja pembersihan kawasan dalam masjid seperti ruang solat, mimbar dan tempat mengambil wuduk, selain pembersihan kawasan sekitar serta luar masjid bagi memastikan persekitaran yang lebih selesa dan kondusif menjelang Ramadan.

“Takaful Malaysia turut melaksanakan aktiviti penanaman anak pokok di sekitar kawasan masjid sebagai sebahagian daripada usaha kelestarian alam dan mewujudkan persekitaran yang lebih hijau untuk manfaat komuniti.

Program ini turut melibatkan pemberian wang zakat kepada 100 orang anak-anak asnaf, sebagai usaha meringankan beban golongan yang memerlukan serta menyemai nilai keprihatinan dan kasih sayang dalam kalangan masyarakat,”katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Nor Azman berkata, Takaful Malaysia juga telah menyerahkan barangan keperluan untuk kegunaan masjid, termasuk kerusi, meja serta barangan bagi memperindahkan ruang masjid, sebagai sokongan terhadap kemudahan dan keselesaan jemaah.

“Program Takaful Malaysia Prihatin Ramadan merupakan antara inisiatif tanggungjawab sosial korporat Takaful Malaysia yang memberi tumpuan kepada sokongan komuniti, pembangunan sosial serta pengukuhan hubungan bersama masyarakat setempat,”ujarmya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI