PETALING JAYA – Pelakon dan penyanyi Bella Astillah bersyukur apabila ibu bapa mendidiknya agar mencari pasangan yang baik dan tidak menjadikan kekayaan sebagai penentu kebahagiaan hidup.
Menurut pemilik nama penuh Dayang Nabellah Awang Astillah, 32, itu, ibunya juga tidak pernah meletakkan sebarang syarat tertentu seperti berduit kepada dia dan adik-beradiknya dalam memilih pasangan hidup.
“Saya bersyukur sebab mama dan ayah tidak pernah mengajar saya dan adik, Didi Astillah mencari pasangan yang mereka impikan tetapi pesan cari orang baik.
“Mereka tak pernah meletakkan sebarang syarat.
“Sebenarnya baik itu penting tapi kalau berduit, rezeki dan bonuslah. Tak kisah kalau dia bukan orang kaya namun rajin bekerja,” katanya menjawab pertanyaan netizen dalam sebuah siaran langsung baru-baru ini.
Tambahnya, dia percaya bahawa kebaikan adalah perkara paling penting dalam memiliki sebuah hubungan yang bahagia berbanding mengutamakan kekayaan.”Saya rasa kehidupan ini, kita tak selamanya di atas, kadang-kadang boleh jatuh juga.
“Sebab itulah kebaikan penting kerana akan berkekalan sampai bila-bila.
“Kalau awak pilih orang yang berduit tapi tak ada budi bahasa dan tidak baik, kita akan hidup dalam kesengsaraan,” jelasnya.
Sementara, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq yang turut sama bersiaran langsung dengan Bella juga menyuarakan pandangan bahawa lelaki perlu mengutamakan tanggungjawab mencari nafkah buat keluarga namun tetap menegaskan sifat baik mampu memberi membawa masa depan lebih cerah.
“Tapi tidak bermaksud bahawa lelaki perlu mengabaikan tanggungjawab hakikinya. Saya fikir tanggungjawab perlu dipenuhi tetapi tidaklah sampai ke tahap perlu menjadi jutawan.
“Rajin itu amat penting kerana menunjukkan ciri-ciri yang baik. Walaupun mungkin tidak dilahirkan dengan kekayaan tetapi kaya daripada sudut sifat itu boleh membawa masa depan yang jauh lebih cerah.
“Mungkin bukan pelaburan terbaik dalam jangka masa pendek, tetapi akan kekal bersama untuk jangka masa panjang,” ujarnya.
Dalam video sama, dia juga sempat menegaskan Bella bukan wanita yang mengutamakan kemewahan sebagai penentu kebahagiaan hidup.
“Itu bukan Bella, sebab dia lebih mementingkan kebaikan, belas kasihan dan akhlak yang baik melebihi segala-galanya.
“Nak harapkan duit memang saya tak adalah, minta maaf,” katanya dalam nada berseloroh. – KOSMO! ONLINE














