SELEPAS hampir setahun bertarung dengan penyakit Amyotrophic Lateral Sclerosis (ALS), bintang Hollywood Eric Dane disahkan meninggal dunia pada usia 53 tahun semalam.
Khabar duka tersebut disahkan oleh ahli keluarga aktor yang popular menerusi drama siri Grey’s Anatomy berkenaan.
“Dengan rasa berat hati, kami berkongsi bahawa Eric Dane sudah meninggal dunia (semalam) selepas berjuang melawan ALS,” katanya.
Menurut keluarga, hari-hari terakhir bintang Hollywood itu dihabiskan dengan penuh bermakna di samping insan-insan tersayang.
“Sepanjang perjuangannya melawan ALS, Dane merupakan seorang individu yang penuh semangat dalam meningkatkan kesedaran kepada mereka yang melalui perjalanan sama.
“Pemergiannya amat dirasai dan akan sentiasa dikenang dengan penuh kasih sayang.
“Dane amat menghargai para peminatnya dan sentiasa bersyukur atas semua kasih sayang serta sokongan yang diterima,” kata kenyataan tersebut.
Dane berkahwin dengan pelakon dan model, Rebecca Gayheart dan dikurniakan dua cahaya mata, Billie dan Georgia.
Namanya mula menjadi sebutan ramai dan melonjak naik selepas melakonkan watak Dr. Mark Sloan dalam Grey’s Anatomy.
Difahamkan, ALS merupakan penyakit neuron motor (MND) menjejaskan sel saraf di otak dan saraf tunjang yang mengawal pergerakan otot. – KOSMO! ONLINE














