MONACO – Pengendali Paris Saint-Germain, Luis Enrique memuji kualiti dan kemampuan yang dimiliki pemainnya, Desire Doue apabila menutup mulut pengkritik selepas meledak dua gol ketika pasukan itu menewaskan AS Monaco 3-2 pada aksi Liga Juara-Juara awal pagi semalam.
Doue berdepan isu prestasi sebelum ini apabila gagal meledak gol dalam sembilan perlawanan sehingga menyebabkan dia hanya diletakkan sebagai pemain simpanan sebelum ini, namun kali ini tampil dengan sentuhan memukau.
Pada perlawanan itu, PSG dikejutkan dengan dua gol awal Monaco selain peluang merapatkan jurang menerusi sepakan penalti disia-siakan oleh Vitinha, namun Doue dimasukkan menggantikan Ousmane Dembele yang mengalami kecederaan mengubah situasi.
Dia hanya memerlukan 1 minit 59 saat selepas dimasukkan untuk meledak gol sekali gus menjadi pemain terpantas yang menghasilkan jaringan selepas dimasukkan daripada bangku simpanan musim ini.
Penghujung babak pertama menyaksikan Achraf Hakimi berjaya menyamakan kedudukan sebelum Doue muncul wira dengan gol kemenangan pada minit ke-67.
“Semua orang mengkritiknya sebelum ini. Dia pemain luar biasa dan berbeza. Kami memiliki pemain yang mampu beraksi pada tahap seperti ini, saya gembira dia kembali mendapat prestasi terbaiknya,” kata Enrique.
Sementara itu, PSG berdepan resah selepas menyaksikan Dembele terpaksa diketepikan seawal minit ke-27 apabila dipercayai berdepan isu kecederaan paha dan hamstring seperti yang pernah dialami sebelum ini.
Perkembangan itu meresahkan Enrique ketika PSG memerlukan khidmatnya terutama ketika mereka ketika ini berada di kedudukan kedua saingan Ligue 1 di belakang Lens selain berdepan misi mempertahankan trofi Liga Juara-Juara. – AGENSI














