PUTRAJAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa setiap aduan salah laku terhadap mana-mana pegawai tertinggi kerajaan perlu diadili mengikut undang-undang dan bukannya atas dorongan politik.
Perdana Menteri berkata, kerajaan tidak boleh menghukum seseorang atas dorongan politik atau disebabkan individu itu tidak disenangi segelintir pihak.
“Kalau perlu hukuman, kena ikut hukum (undang-undang) tapi jangan kita hukum kerana kebetulan orang itu kita tidak senangi atau kerana ada dorongan politik dan cara kita selesai ini, bagi saya ini undang-undang. Kalau ada aduan-aduan yang benar, bawa ke mahkamah kerana proses ini sama seperti mana yang kita bicarakan sekarang dalam kes SPRM,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini hari ini.
Katanya, beliau menghargai tugas dan peranan setiap penjawat awam yang berhempas pulas, namun tidak semestinya mereka terus dihukum dan dimaki.
Anwar berkata, tindakan terhadap sebarang kelemahan atau salah laku perlu dibuat secara adil dan berasaskan siasatan, terutama membabitkan penjawat awam yang telah lama berkhidmat.
“Orang yang berkorban puluhan tahun, dalam semua agensi, kalau kelemahan itu melanggar prinsipnya ataupun kesalahannya besar, itu ikut proses undang-undang dan kalau ada aduan-aduan yang berat, bawa kepada prosesnya. Sama seperti mana yang dibicarakan sekarang dalam kes SPRM.
“Tetapi bagi saya, saya tidak fikir saudara akan bekerja kalau seorang Perdana Menteri itu terus hukum. ‘Belum siasat, mesti hukum dulu’. Saya tidak pilih jalur (tindakan) itu,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, kerajaan telah menubuhkan sebuah jawatankuasa siasatan khas bagi menyiasat dakwaan pemilikan saham oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki. – KOSMO! ONLINE














