KOTA BHARU – Terminal utama yang juga balai pelepasan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) Pengkalan Chepa memulakan operasinya hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar Kelantan, Datuk Dr. Izani Husin berkata, semua urusan melibatkan pelepasan penerbangan selepas ini perlu melalui tingkat atas lapangan terbang tersebut.
Menurutnya, pemandu kereta atau kenderaan yang melalui jejambat akan menurunkan penumpang di kawasan tersebut.
“Alhamdulillah, hari pertama puasa menjadi hari pertama mulanya beroperasi LTSIP. Dari parking hingga ke bangunan terminal utama sudah boleh digunakan.
“Tingkat bawah hanya melibatkan ketibaan adalah di tingkat bawah. Kesemua kemudahan bermula dari parkir sehingga ke bangunan terminal utama sudah boleh digunakan,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook rasmi beliau hari ini.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, LTSIP Pengkalan Chepa di sini dijangka beroperasi dengan kapasiti penuh bermula 5 Mac ini selepas pembinaan terminal baharu fasa dua siap bulan depan.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar Kelantan, Saizol Ismail berkata, maklumat tersebut diperoleh selepas beliau menjalankan lawatan ke LTSIP pada minggu lepas.
Menurutnya, operasi penuh LTSIP sepatutnya pada minggu lalu, namun pelaksanaannya ditangguhkan susulan beberapa masalah teknikal melibatkan sistem tali sawat bagasi.
“Sehubungan itu, operasi penuh terminal baharu fasa dua LTSIP dijangka bermula pada 5 Mac ini iaitu pada pertengahan Ramadan. Selain itu, beberapa operator penerbangan juga akan menambah jambatan udara untuk kemudahan penumpang,” katanya.
Terdahulu, LTSIP bersedia untuk menerima penerbangan antarabangsa masuk ke Kelantan hujung tahun ini susulan terminal baharu fasa 1 beroperasi secara rasmi pada 1 Mei 2024 lalu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan bersetuju untuk melaksanakan projek penambahan landasan sejauh 400 meter di LTSIP, Pengkalan Chepa di sini agar ia boleh dinaik taraf sebagai lapangan terbang antarabangsa.
Menurutnya, beliau telah bersetuju dengan cadangan itu akan cuba melaksanakan projek tersebut dengan segera.
“Projek tambahan landasan itu sekali gus membolehkan penerbangan umrah dan haji dari Kelantan terus ke Arab Saudi,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














