ATHENS – Pihak berkuasa Greece menolak sebarang unsur jenayah dalam insiden kematian penerbit Israel, Dana Eden, yang ditemukan mati di bilik hotelnya di Athens, Ahad lalu, lapor laman berita The National.
Eden, 52, merupakan penerbit siri televisyen ‘thriller’ berjudul ‘Tehran’ yang memenangi Anugerah Emmy.
Mayatnya ditemukan selepas abangnya beberapa kali gagal menghubunginya, kata laporan tempatan.
Polis Greece berkata, kes itu dianggap sebagai ‘menamatkan riwayat sendiri’ berdasarkan bukti-bukti dan keterangan. Siasatan terhadap kejadian itu sedang dijalankan, kata polis.
Berita kematian Eden diikuti dengan spekulasi dalam media Israel yang mengaitkannya dengan kandungan siri tersebut.
Tehran mengisahkan tentang ejen Mossad, Tamar Rabinyan, seorang perisik kelahiran Iran yang direkrut untuk menyusup masuk dan memansuhkan program nuklear negara itu.
Eden berada di Athens untuk penggambaran musim keempat siri itu.
Syarikat produksi Donna dan Shula Productions mengeluarkan kenyataan Isnin lalu dengan mengatakan, laporan yang mengaitkan kematian Eden dengan latar belakang jenayah adalah tidak benar dan tidak berasas. – AGENSI














