KUALA PILAH – Seorang pekebun maut selepas kereta yang dipandunya terbabas dan merempuh sebatang pokok di Jalan Senaling – Kepis berdekatan Masjid Taqwa Kampung Bemban, di sini, pagi tadi.
Kejadian disedari penduduk yang tinggal berhampiran apabila terdengar bunyi dentuman kuat sebelum ternampak kemalangan berlaku.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Muhamad Mustafah Hussin berkata, dalam kejadian pukul 7.30 pagi itu, mangsa seorang lelaki berusia 50 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian selepas cedera parah akibat tersepit di dalam kereta.
“Siasatan awal mendapati, nahas dipercayai berlaku semasa mangsa dari arah Kampung Kepis hendak menghala ke Senaling.
“Setiba di tempat kejadian, mangsa telah hilang kawalan dan terbabas ke kanan jalan lalu melanggar sebatang pokok. Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah,” katanya. – KOSMO! ONLINE














