PEMAIN beregu campuran negara, Toh Ee Wei memasang impian untuk menambah koleksi kejuaraan apabila mahu menamatkan kemarau gelaran Jelajah Dunia Super 1000 menjelang kejohanan All England bulan depan.
Selepas memenangi beberapa kejuaraan di peringkat Super 300 dan 500, Ee Wei yang bergandingan dengan Chen Tang Jie masih belum menikmati gelaran di tahap lebih tinggi, iaitu Super 750 dan 1000.
Justeru, All England yang akan berlangsung di Birmingham pada 3 hingga 8 Mac depan bakal menjadi pentas terbaik buat beregu No. 4 dunia itu menamatkan penantian mereka untuk merangkul gelaran Super 1000.
Ee Wei berkata, sebelum berfikir mengenai kejuaraan, mereka perlu memberikan sepenuh fokus dalam latihan dan tidak memberikan tekanan kepada diri sendiri selain memastikan disiplin berada pada tahap paling tinggi.
“Selepas ini ada All England dan seperti saya cakap, sekiranya kami terus berlatih dengan kuat, sudah tentu akan ada hasil di All England nanti. Kami pun tidak pernah ada (menang) Super 750 dan 1000.
“Semua pemain mesti mahu menang, jadi apa yang penting adalah kami perlu mengekalkan disiplin dalam latihan. Pergi kejohanan memang mahu menang tetapi tidak boleh letak tekanan banyak sangat,” katanya.
Gandingan juara dunia itu juga dianggap berada dalam prestasi cukup baik ketika ini, terutamanya selepas mereka memenangi kejohanan Indonesia Masters yang berlangsung di Jakarta bulan lalu.
“Memang kenangan (menang Indonesia Masters) yang baik kerana setiap pemain ada menang dan kalah. Sekarang kami fokus untuk mengekalkan konsistensi dalam gelanggang selain mengelak kecederaan,” ujar Ee Wei.














