KUANTAN – Seorang lelaki bukan sahaja gagal mengeluarkan keuntungan sebanyak RM1.8 juta, malah kerugian sebanyak RM636,123 selepas terperdaya dalam skim pelaburan saham tidak wujud.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, kejadian bermula pada 3 November lalu apabila mangsa berusia 57 tahun melihat iklan pelaburan di Facebook sebelum berurusan dengan suspek melalui aplikasi WhatsApp.
“Suspek menawarkan skim pelaburan saham yang menjanjikan keuntungan sebanyak 30 peratus dalam sebulan dengan modal minimum RM10,000. Bagi meyakinkan mangsa, suspek mengarahkan lelaki itu memuat turun aplikasi pelaburan melalui pautan yang diberikan,” katanya.
Menurut beliau, sejak 9 Januari hingga 11 Februari lalu, mangsa melakukan empat transaksi pemindahan wang ke dalam empat akaun bank sehingga kerugian RM636,123.06.
Katanya, melalui aplikasi itu, mangsa ditunjukkan paparan keuntungan kononnya meningkat mencecah RM1.8 juta termasuk komisen pelaburan.
“Apabila mangsa mahu mengeluarkan wang pelaburan dan keuntungan, suspek memberikan pelbagai alasan selain meminta bayaran tambahan,” katanya yang memberitahu mangsa menggunakan wang simpanan selain dipinjam daripada keluarga.
Polis Pahang menasihatkan orang ramai supaya merujuk dan mendapatkan nasihat awal daripada balai polis berdekatan sebelum membuat sebarang pelaburan bagi mengelakkan daripada menjadi mangsa penipuan. – KOSMO! ONLINE














