fbpx
Mohd. Asri (tengah) menunjukkan komponen e-waste yang dirampas dalam lapan kontena di Pelabuhan Utara. Foto oleh SADDAM YUSOFF / KOSMO!

Isytihar tembaga tapi rupanya sisa elektronik RM2.15 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KLANG – Cubaan menjadikan negara ini sebagai destinasi pelupusan sisa elektronik terus terbongkar apabila 186 tan e-waste bernilai kira-kira RM2.15 juta dirampas dalam serbuan di Pelabuhan Utara, di sini, awal bulan ini.

Serbuan kira-kira pukul 11 pagi pada 3 Februari lalu itu dilaksanakan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pahang bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor hasil risikan terdahulu terhadap pergerakan kontena terbabit.

Pengarah Kastam Pahang, Mohd. Asri Seman berkata, hasil semakan mendapati lima daripada kontena berkenaan berasal dari Kanada, dua dari Sepanyol dan satu dari Croatia.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati kesemua kontena itu diimport tanpa permit sah seperti ditetapkan di bawah peruntukan undang-undang berkaitan pengurusan sisa terjadual.

“Modus operandi sindiket adalah membuat pengikraran tidak benar pada borang dagangan dengan mengisytiharkan muatan sebagai campuran tembaga.

“Rampasan e-waste termasuk komponen komputer, sampah kabel dan wayar melibatkan berat keseluruhan 186,737 kilogram dengan nilai anggaran RM2.15 juta,” katanya pada sidang akhbar di Pelabuhan Utara, hari ini.

Jelas beliau, siasatan awal mendapati kontena terbabit baharu dua minggu tiba di pelabuhan berkenaan sebelum ditahan hasil maklumat risikan.

“Sejurus kontena masuk, kita telah memperoleh maklumat awal dan bertindak menahan dalam sistem sebelum pemeriksaan fizikal dilakukan.

“Kesemua e-waste ini dipercayai untuk pasaran sekitar Lembah Klang dan kita sedang mengesan ejen serta pihak terlibat bagi tindakan lanjut,” katanya.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (a) Akta Kastam 1967 yang sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM500, 000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Ketika mengulas mengapa serbuan dilakukan pihaknya dan bukannya JKDM Selangor, Mohd. Asri menegaskan, ia merupakan penguatkuasaan yang normal susulan tiada penetapan sempadan dalam JKDM.

“Sekiranya dapat maklumat, bahagian penguatkuasaan mana-mana negeri boleh bertindak bagi mengelakkan kebocoran maklumat,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI