fbpx
Hussein menunjukkan dadah yang dirampas daripada sindiket warga Indonesia pada sidang media di IPK Selangor, Shah Alam hari ini. Foto oleh AFIQ RAZALI / KOSMO!

Edar dadah RM12.6 juta guna bot pancung ke Indonesia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Kegiatan sindiket penyeludupan dadah ke Indonesia menggunakan bot pancung tumpas selepas tiga individu termasuk pasangan suami isteri diberkas dalam serbuan di Sekinchan, minggu lalu.

Tangkapan dibuat pada 12 Februari lalu membabitkan suspek berusia 26 hingga 53 tahun, dengan rampasan dadah dianggarkan bernilai RM12.6 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, penahanan semua suspek dilakukan menerusi serbuan di dalam rumah sekitar Sungai Leman yang turut turut menemukan tiga bungkusan dadah disyaki methamphetamine.

“Serbuan kedua melibatkan sebuah bot di Jeti Ikan Sekinchan dengan rampasan 157 plastik berisi dadah sama seberat 158.6 kilogram (kg) dan MDMA (10.89kg) selain 2,000 katrij berisi MDMA.

“Hasil siasatan mendapati dua suspek lelaki bertindak sebagai koordinator laut dan darat selain runner sindiket yang aktif sejak 2021 itu,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, hari ini.

Menurut beliau, sindiket itu bergiat aktif pada waktu malam atau awal pagi dengan menaiki bot bagi membawa bekalan dadah melalui perairan Selangor dan Selat Melaka sebelum diseludup ke negara jiran.

Ujian saringan air kencing mendapati semua suspek positif dadah, namun tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

“Ketiga-tiga suspek direman selama 14 hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN