TOKYO – Seekor anak monyet di sebuah zoo di Jepun menyentuh hati orang ramai kerana sering bermain dengan patung orang utan yang diangap seperti ibunya sendiri, lapor akhbar The Sun UK.
Primat berusia enam bulan bernama Punch itu kini sering bermanja dengan mainan orang utan selepas ditinggalkan ibunya sejurus dilahirkan.
Beberapa video dirakam di Zoo Bandar Ichikawa memaparkan Punch duduk di atas mainan orang utan dan sering membawa anak patung itu bersamanya.
Anak monyet itu dilahirkan pada Julai tahun lepas sebelum penjaganya, Kosuke Shikano dan Shumpei Miyakoshi, mula membesarkannya sambil memantau perkembangannya.
Anak monyet secara nalurinya berpaut pada ibunya sejak dilahirkan, justeru, kakitangan zoo memberi Punch selimut dan mainan untuk mengurangkan kebimbangannya.
Primat itu menjadi akrab dengan orang utan tersebut dan tidak pernah berenggang dengannya sejak itu, selain ia dilihat tidur dengan mainan itu serta memeluknya.
“Bulu haiwan boneka itu memudahkannya untuk dipegang, dan rupanya juga serupa dengan monyet, yang mungkin memberikan rasa selamat,” jelas Shikano. – AGEN














