PUTRAJAYA- Putrajaya Leisures & Services Group Sdn. Bhd. (Pulse Group) meneruskan tradisi tahunan pengagihan bubur lambuk sempena Ramadan dengan mengagihkan sebanyak 3,000 pek makanan itu kepada warga Putrajaya menggunakan konsep pandu lalu.
Menariknya, program merupakan sebahagian inisiatif tanggungjawab sosial korporat itu turut memberi tumpuan khas kepada golongan ‘rider’ yang memainkan peranan penting dalam ekonomi gig di Putrajaya.
Ketua Pegawai Eksekutif Pulse Group, Abd. Rahim Md. Junoh berkata, inisiatif itu merupakan simbol komitmen berterusan syarikat dalam menyantuni masyarakat khususnya warga Putrajaya.
“Inisiatif ini melibatkan penghargaan khas kepada golongan ‘food riders’ sebagai tanda keprihatinan terhadap kisah kemasyarakatan dan pengiktirafan kepada peranan penting mereka sebagai barisan hadapan dalam ekonomi gig.
“Ia juga membawa mesej keprihatinan, perkongsian rezeki serta semangat kebersamaan yang selari dengan nilai murni bulan Ramadan,” katanya pada pemberita ketika ditemui di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini tadi.
Menambahkan lagi keistimewaan program itu, katanya, bubur lambuk disediakan menggunakan resepi unik hasil sentuhan cef berpengalaman di Pulse Catering Services.
“Resepi tersendiri yang kaya dengan rempah ratus dan keseimbangan rasa tradisional itu menjadi antara tarikan utama dan sentiasa dinantikan warga Putrajaya setiap kali Ramadan.
“Sebanyak lima periuk besar bubur lambuk dimasak bagi menyediakan kuantiti agihan pada tahun ini, melibatkan dua orang cef berpengalaman bersama lebih 50 kakitangan dapur dan syarikat,” katanya. – KOSMO! ONLINE














