SHAH ALAM – Tanah tepu air dan struktur pokok yang telah mereput dipercayai menjadi antara punca kejadian pokok tumbang sehingga menghempap kenderaan dinaiki dua pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Persiaran Tun Arshad Ayub, di sini.
Pengarah Jabatan Landskap Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majidah Md. Ali berkata, dapatan itu berdasarkan penilaian awal pihaknya dalam tempoh 24 jam selepas kejadian.
“Untuk nyatakan punca tepat, kita masih belum boleh sahkan. Namun pemerhatian awal mendapati kawasan itu agak berair dan terdapat tanda-tanda reput pada bahagian atas pokok.
“Kemungkinan wujud air tepu berlebihan di kawasan tersebut selain faktor ketahanan pokok itu sendiri yang terjejas,” katanya.
Beliau berkata, pokok berusia kira-kira 10 tahun itu akan melalui penelitian lanjut termasuk aspek struktur akar dan tanah sebelum laporan lengkap dikeluarkan serta tindakan susulan diambil.
Tambahnya, pihaknya mengenal pasti terdapat kira-kira 365 batang pokok
jalan sepanjang persiaran tersebut.
“Kita dalam penilaian penuh terhadap pokok-pokok yang berisiko sebelum operasi pemangkasan dan penebangan dilakukan,” jelasnya.
Sementara itu, tinjauan Kosmo! mendapati lebih 20 buah batang pokok dipotong MBSA di kedua-dua laluan Persiaran Tun Arshad Ayub tersebut.
Kosmo! sebelum ini melaporkan dua pensyarah Fakulti Kejuruteraan Kimia, UiTM Shah Alam iaitu Nur Shahidah Ab Aziz, 39, dan Dr. Shareena Fairuz Abdul Manaf, 42, cedera selepas kenderaan pelbagai guna jenis Mitsubishi Xpander dihempap pokok di jalan persiaran tersebut. – KOSMO! ONLINE













