fbpx
Gambar Hiasan

Rayuan haji ditutup esok, 85,000 permohonan diterima

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Lembaga Tabung Haji (TH) menerima sekitar 85,000 permohonan rayuan haji bagi musim 1447H berbanding kuota tahunan sebanyak 31,600.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad berkata, berdasarkan jumlah rayuan yang tinggi, maka permohonan rayuan musim ini akan ditutup mulai 1 Ramadan 1447H.

“Proses tawaran haji musim 1447H/2026M telah berjalan lebih lancar dan kuota haji diperuntukkan telah diisi sepenuhnya.

“Alhamdulillah, untuk tahun ini, dengan inisiatif penambahbaikan TH terutamanya peringatan agar bakal jemaah membuat persediaan, kuota haji rasmi negara telah dapat dipenuhi lebih awal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, hasil usaha ini adalah kadar penangguhan jauh lebih rendah iaitu 18 peratus bagi musim 1447H berbanding 50 peratus pada tahun 1446H.

Mustakim turut menjelaskan permohonan rayuan yang diterima sebelum tarikh ini kekal dalam pertimbangan TH.

Katanya, sekiranya berlaku kekosongan saat akhir akibat penangguhan atau pembatalan, pengisian akan dibuat daripada senarai rayuan sedia ada berdasarkan merit dan kriteria yang ditetapkan.

“TH ingin mengucapkan terima kasih atas kesabaran dan kerjasama yang diberikan oleh semua bakal jemaah dan semoga semua usaha bakal jemaah ini mendapat ganjaran sebaiknya di sisi Allah SWT,” katanya.

TH akan terus menumpukan usaha bagi memastikan kelancaran operasi haji musim 1447H.

Penerbangan pertama jemaah haji Malaysia dijadualkan bermula pada 18 April 2026, manakala penerbangan terakhir pada 20 Mei 2026, dengan hari Wukuf dijangka pada 26 Mei 2026. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI