GIRONA – Kontroversi tercetus apabila pemain pinjaman Girona, Claudio Echeverri mengakui terpijak kaki Jules Kounde dalam gerakan yang membawa kepada gol kemenangan minit akhir ke atas Barcelona di Stadium Montilivi.
Insiden itu berlaku ketika kedudukan 1-1 sebelum Fran Beltran meledak jaringan penentu pada minit ke-86, sekali gus memastikan kemenangan 2-1 tuan rumah meskipun dibantah hebat barisan pelawat dan melalui semakan video bantuan pengadil (VAR).
“Ya, saya terpijak kaki Kounde, tetapi saya berlari pada kelajuan tinggi dan tidak berniat melakukannya. Jika pengadil memberikan faul, saya boleh faham,” kata Echeverri selepas perlawanan.
Terdahulu, skuad kendalian Hansi Flick terlebih dahulu mendahului menerusi tandukan Pau Cubarsi sebelum Thomas Lemar menyamakan kedudukan, manakala penalti Lamine Yamal sekadar mengenai tiang pada babak pertama.
Keputusan itu menyaksikan Barcelona terus ketinggalan dalam perebutan takhta liga di belakang Real Madrid, selain menambah tekanan susulan dua kekalahan berturut-turut dalam semua kejohanan.
Pengendali Girona, Michel mempertahankan kesahihan kemenangan pasukannya sambil menegaskan tumpuan tidak seharusnya hanya terarah kepada satu insiden.
“Perlawanan ini satu tontonan hebat. Tidak adil untuk menilai keseluruhan aksi hanya berdasarkan satu situasi. Usaha pemain kami wajar dihargai,” katanya.
Dalam masa sama, Flick enggan menjadikan keputusan kontroversi itu sebagai alasan kekalahan pasukannya, sebaliknya mengakui prestasi keseluruhan masih perlu diperbaiki.
“Semua orang ada pandangan masing-masing, tetapi jika kami bermain lebih baik, situasi itu tidak akan menjadi isu utama. Kami perlu fokus memperbaiki permainan,” jelasnya. – AGENSI














