fbpx
Allahyarham Ahmad Badrul (gambar kecil) berjaya ditemui kira-kira pukul 12.15 tengah hari tadi.

‘Kami hilang rakan baik, arwah Bad suka buat lawak’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GEORGE TOWN – Rakan anggota bomba yang ditemukan lemas di Pantai Kandis, Bachok, Kelantan tidak menyangka pertemuan mereka pada Ahad lalu menjadi kenangan terakhir.

Mangsa, Ahmad Badrul Naim Ab. Wahab, 32, yang merupakan anggota Pasukan Khas Taktikal Operasi dan Penyelamat Bomba (Storm) dan Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bayan Baru.

Menurut penyelianya, Pegawai Bomba Kanan I Abdul Manaf Kadir, kematian Ahmad Badrul atau lebih mesra disapa Bad dianggap satu kehilangan besar dalam pasukan.

“Memang terkejut apabila dimaklumkan mengenai kejadian berlaku semalam. Paling sedih bila dapat tahu yang dia sudah pergi buat selama-lamanya (ditemukan lemas) hari ini.

“Ia satu kehilangan besar bagi kami di Storm dan Hazmat. Arwah dikenali sebagai rakan setugas yang baik, aktif dan patuh arahan,” katanya kepada Kosmo! di sini, hari ini.

Abdul Manaf memberitahu, arwah merupakan anggota yang disenangi dalam kalangan rakan setugas.

“Arwah memang tidak tunjuk apa-apa perubahan sepanjang kami mengikuti kursus selama tiga hari sehingga 15 Februari lalu. Wajahnya sentiasa ceria dan suka melawak dengan kawan-kawan,” ujarnya.

Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan seorang anggota bomba lemas sewaktu menyelamatkan adiknya di Pantai Kandis semalam dijumpai selepas hampir 20 jam hilang dihanyut ombak pada pukul 12.15 tengah hari tadi.

Mayat mangsa dijumpai tiga kilometer dari lokasi dia dilaporkan lemas. Bagaimanapun, adiknya, Ahmad Nurudin, 21, masih belum ditemui.

Dalam kejadian pukul 5.15 petang itu, Ahmad Badrul dan adiknya hilang selepas cuba menyelamat anak saudara mereka, Mohd. Ali Al Imran Mohd. Ezad, 12, yang dihanyutkan ombak.

Kanak-kanak tersebut bagaimanapun berjaya diselamatkan oleh bapanya, manakala Ahmad Badrul dan adiknya dihanyutkan ombak hingga ke tengah laut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI