KUALA LUMPUR – Adla Group Sdn Bhd. (Adla) telah berjaya memperkasakan seramai 46 wanita daripada pelbagai latar belakang yang berumur antara 25 hingga 45 tahun menjadi seorang individu yang berdaya tahan, berkeyakinan tinggi dan bersemangat tinggi untuk menjadi pelapis kepimpinan wanita yang berdaya saing.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Adla, Datin Dr. Hasnorliza Abu Hassan berkata, kejayaan ini dicapai melalui Program Kepimpinan dan Pembangunan Wanita Perantis yang dilaksanakan di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Menurut beliau, program yang telah memasuki penganjuran tahun kedua itu kini menjadi platform membina kapasiti, keyakinan dan berdaya tahan daripada pelbagai sektor lebih bersedia berdepan cabaran dalam dunia profesional.
“Program ini dibangunkan sepenuhnya daripada awal dengan memberi penekanan terhadap pembinaan kapasiti dan pembangunan kepimpinan wanita merentas sektor.

“Modul yang dirangka tidak memfokuskan kepada industri tertentu, sebaliknya menekankan kesedaran kendiri, kefahaman tingkah laku, refleksi diri dan kebolehan memposisikan semula peranan sebagai pemimpin,” katanyapada majlis penyampaian anugerah kepada wanita cemerlang baru-baru ini.
Hasnorliza menerangkan, program tersebut telah berlangsung selama enam bulan bermula Oktober lalu dan ia dilaksanakan dalam dua kohort, dengan modul sama bagi memastikan kesinambungan kualiti.
“Ramai wanita sebenarnya ada potensi besar, tetapi sukar untuk ‘naik’ ke tahap lebih tinggi kerana kekangan akses, sokongan dan keyakinan diri.
“Program ini diwujudkan untuk beri ruang dan pendedahan secara terus kepada mereka.
“Peserta turut mengikuti lapan sesi pementoran dalam bidang berbeza, selain tugasan dan refleksi kendiri yang membantu mereka mengenal kekuatan serta jurang penambahbaikan sebagai pemimpin,” ujarnya.

Sementara itu, penerima anugerah Outstanding Mentoring Journey Award, Suzana Sukaimi, 39, berkongsi perjalanan bersama perantis dalam kohort kedua, memberitahu program tersebut berjaya membantunya membina ketahanan diri selepas melalui fasa mencabar dalam kehidupan.
“Sebagai ibu tunggal yang berdikari dengan tiga anak, program ini banyak mengajar saya tentang refleksi kendiri, pengurusan masa dan kepentingan jaringan sokongan.
“Wanita di luar sana ada pelbagai kisah, tetapi tidak semua mempunyai platform untuk didengari.
“Program ini buat saya lebih kenal diri sendiri, lebih yakin dan lebih tersusun dari segi pengurusan masa. Paling penting, saya jumpa ‘circle’ yang saling menyokong,” ujarnya.
Bagi pemenang Emerging Strength Award, Adlia Nurin Badrisya Awalludin menyifatkan, penyertaan dalam program itu membuka ruang untuk membincangkan isu kesihatan mental dan keberanian untuk bersikap jujur terhadap emosi sendiri.
“Saya percaya kekuatan kepimpinan perlu dibentuk seawal mungkin kerana impaknya akan mempengaruhi generasi seterusnya.
“Tidak mengapa untuk menjadi rapuh dan tidak mengapa untuk mengakui kita tidak baik-baik sahaja. Dari sini, saya lebih berani dan yakin dengan diri sendiri,” katanya yang terlibat dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak.
Sementara itu, pemenang Leadership Presence Award, Dr Roozita Maskun berkata, struktur program yang tersusun memberi momentum kepada peserta untuk konsisten membina diri.
Berpengalaman lebih 15 tahun dalam bidang pendidikan, beliau melihat nilai utama program ini ialah sokongan sesama peserta serta peta jalan pembangunan kepimpinan yang jelas sepanjang tempoh enam bulan.
“Program ini membantu saya mengenal kekuatan dan kelemahan diri, selain memikirkan legasi yang ingin ditinggalkan sebagai pemimpin dan pendidik,” katanya. -KOSMO! ONLINE














