DOHA – Bintang tenis No. 2 dunia, Jannik Sinner kembali mempamerkan aksi terbaiknya semula apabila menundukkan pemain Republik Czech, Tomas Machac pada pusingan pertama Terbuka Qatar, hari ini.
Dalam aksi pertamanya sejak tersingkir pada separuh akhir Terbuka Australia bulan lalu ke atas Djokovic, Sinner tidak berdepan masalah apabila melakar kemenangan straight set 6-1, 6-4 ke atas pemain ranking ke-31 dunia itu.
Kemenangan tersebut memastikan juara empat gelaran Grand Slam itu melangkah ke pusingan kedua untuk bertemu pemain Australia, Alexei Popyrin.
Sinner mengakui tahap fizikalnya berada dalam keadaan baik, namun menjangkakan cabaran lebih getir menantinya pada perlawanan seterusnya.
“Secara fizikal saya berasa baik. Setiap perlawanan akan menjadi lebih sukar, jadi saya perlu bersedia untuk aksi berikutnya,” katanya.
Pemain Itali berusia 24 tahun itu hanya memerlukan kurang setengah jam untuk menguasai set pertama, namun Machac memberi tentangan lebih sengit pada set kedua.
Dalam keadaan berangin, Sinner hanya kehilangan enam mata sepanjang sembilan permainan servisnya.
Sinner selepas ini bakal berdepan Popyrin yang mudah menewaskan pemain tuan rumah, Mubarak Shannan Zayid 6-0, 6-2.
Sementara itu, pilihan utama kejohanan, Carlos Alcaraz dijadual memulakan kempen menentang pemain Perancis, Arthur Rinderknech awal pagi nanti. -AGENSI






