KUALA LUMPUR – Keluar dari kepompong selesa selepas lebih dua dekad bergelar pelakon, Sharifah Shahora mencabar diri duduk di kerusi sutradara mengarahkan telemovie berjudul Kampung Gatal.
Kata pemilik nama lengkap Sharifah Shahora Syed Akil, 52, sokongan suami juga pengarah, Raja Mukriz yang yakin terhadap kemampuannya menyuntik semangat untuk menyempurnakan naskhah tersebut.
“Sebenarnya sebelum ini saya pernah membantu suami mengarahkan beberapa drama terbitan syarikat produksi kami tetapi hanya sebagai penolong pengarah.
“Apabila dapat skrip Kampung Gatal yang juga genre komedi iaitu ‘makanan’ saya, suami kata kenapa tidak saya arahkan sendiri kerana ada pengalaman dalam bidang arahan.
“Selama ini pun saya kerap turun set bantu kerja belakang tabir selain sesekali duduk di kerusi sutradara. Kiranya ini arahan pertama saya sepenuhnya. Mencabar tapi puas,” katanya ketika di temui pada majlis prebiu 30 Ramadan @Saloma, baru-baru ini.
Ibu kepada dua cahaya mata itu mengakui kerjasama barisan pelakon termasuk Riena Diana dan Amir Raja Lawak melancarkan lagi kerja penggambaran sekitar bulan lalu.
“Syukur saya dapat pelakon yang bagus, faham watak masing-masing, berdisiplin serta saling ‘memberi’ membuatkan naskhah komedi ini hidup,” katanya.
Mengenai lakonan, katanya dia tetap menerima tawaran daripada produksi lain bukan hanya terikat dengan syarikat sendiri Eleven Field Creative yang sebelum ini pernah menghasilkan filem Pagari Bulan.
“Saya tetap bekerja dengan penerbit dan pengarah lain sebab minat. Begitu juga watak, tak semestinya komedi saja kerana karakter serius serta antagonis pun saya boleh galas.
“Macam dalam drama bersiri Doa Yang Terlindung saya bawa watak ibu kepada Anisah lakonan Sharifah Rose yang berkisar mengenai salah laku golongan dihormati dan kebetulan isu dipaparkan sama situasi.
“Saya pegang watak isteri yang sangat lembut, taat serta tidak pernah membantah suami. Memang karakter ini sangat berbeza. Kami bersyukur naskhah sarat pengajaran ini trending,” katanya.
Terdahulu, Shahora mendirikan rumah tangga dengan pengarah drama dan filem serta dikurniakan dua cahaya mata. – KOSMO! ONLINE














